98e23aa675c0d04529fb65dd91cc2746218ea7a7

Sunday, April 13, 2014

Perhimpunan Aman Membantah Projek Baru Di Damansara Damai

Pagi ini dalam jam 10 Pagi tadi, sekumpulan wakil dari penduduk Damansara Damai telah mengadakan satu perhimpunan aman bagi membantah satu projek baru untuk membina apartment 25-33 tingkat di tanah rezab Majlis Perbandaran Petaling Jaya ( MBPJ ) berdekatan dengan Apartment Indah dan Desa Riang.

Bantahan ini disuarakan kerana Damansara Damai kini mengalami kesesakan jalan raya yang teruk pada waktu pagi hendak pergi kerja, dan juga pada sebelah petang ketika warga penduduk pulang daripada kerja. Kesesakan yang luar biasa ini begitu meresahkan penduduk dimana mereka harus keluar dari rumah seawal jam 5 pagi untuk ke tempat kerja, menghantar isteri dan anak-anak yang bersekolah.

Damansara Damai mempunyai berbelas kawasan apartment, dan setiap kawasan mempunyai berbelas-belas blok, contohnya di Apartment Idaman sahaja mempunyai Blok A - S ( Kau orang bayangkan ). Boleh aku anggarkan purata penduduk disini mencecah 150 ribu hingga 200 ribu orang. Dan kelemahan nya ialah, disini hanya mempunyai 1 jalan keluar masuk sahaja, dan oleh kerana itu lah kesesakan jalan raya ini berlaku sehingga ada kawalan polis trafik pada setiap pagi untuk membantu.



Jadi dalam perhimpunan ini juga, para penduduk meminta pihak kerajaan untuk membina satu lagi jalan raya alternatif untuk keluar masuk dari kawasan Damansara Damai ini. Serahan MEMORANDUM juga telah dibuat oleh wakil penduduk kepada Datuk Bandar untuk dipertimbangkan sebaik-baiknya demi kesejahteraan penduduk-penduduk





Krew TV9 dan beberapa media lain turut membuat liputan dalam perhimpunan aman ini dan kita berharap agar perkara ini akan didengari oleh pihak atasan. Aku sendiri sebagai penduduk Damansara Damai ini juga turut terasa dengan keadaan sesak setiap masa yang makin meruncing.

Oleh yang demikian, kepada pihak yang berkenaan, diharap dapat membuka mata dan hati, melihat kesusahan para penduduk disini mengharungi kehidupan seharian dan langkah yang sebaiknya dapat dibuat demi kesejahteraan bersama.